13 November, 2011

Kesan Global Tidak Seburuk Disangka

Volatiliti tinggi enam bulan akan datang, tapi ekonomi tak mungkin gawat

Ramai yang bimbang bahawa kesan krisis Eropah akan menjejaskan situasi pertumbuhan global, kerana para penganalisis khuatir bahawa Eropah akan menyebabkan Amerika dan Asia kembali gawat.

Namun begitu berasaskan data yang terkini, terutamanya dari Amerika, keadaan tidak seburuk yang disangka, dengan ekonomi Amerika berkembang lebih 2% pada suku ketiga.

Bagi Malaysia pula, pertumbuhan dijangka berada antara 4.5% - 5% tahun ini.  Perkara yang membimbangkan pemimpin dunia ialah jika keadaan bertambah buruk di Eropah, kesan akan dirasai di seluruh dunia.

Tetapi satu perkara yang perlu diingat ialah keadaan di Eropah ialah sesuatu yang sudah dijangka dan disebut-sebut oleh para penganalisis dan orang ramai.

Fenomena penting yang diperhatikan oleh pelabur tersohor Ken Fisher ialah apabila pasaran telah menyebut-nyebut, mengetahui atau meramalkan sesuatu peristiwa, keadaan tersebut dianggap telah 'discounted' atau telah diambil kira di pasaran.

Apabila sesuatu telah diambil kira menerusi maklumat yang sedia ada, kuasanya untuk menggerakkan pasaran tidak begitu kuat kerana menurut beliau hanya kejutan (sama ada positif atau negatif) yang mampu menggerakkan pasaran.

Satu contoh yang baik ialah pada awal tahun ini, hampir semua penganalisis  meramalkan pasaran akan naik sehingga ke 1,600 - 1700 mata.  Tetapi pasaran dikejutkan dengan beberapa faktor seperti gempa bumi Jepun dan krisis di Eropah, menyebabkan ramalan tersebut tidak mungkin menjadi kenyataan.

Sudah tentu volatiliti akan terus dirasai dalam tempoh enam bulan akan datang di mana pergerakan pasaran yang ketara, sama ada turun atau naik akan berlaku, seiring dengan berita yang keluar dari Eropah.

Selain itu, pasti beberapa negara Eropah sendiri akan mengalami kemelesetan ekonomi.  Tetapi melainkan berlaku krisis perbankan sangat serius dengan tiada campur tangan secara positif, keadaan tidak mungkin melarat begitu teruk sehingga ke seluruh dunia.

Situasi masih belum reda tetapi bagi kita di Malaysia, saya berpendapat ada banyak syarikat yang mampu menngharungi tempoh satu tahun akan datang dengan terus mengekalkan paras keuntungan.

Tiada ulasan: